Thursday, June 07, 2007

Apa maksudnya?

Assalamualaikum..

Saya telah ditanya mengenai maksud entri Hadith mengenai sifat dan rupa Rasulullah yang berbunyi "saya mendengar Tuan Guru saya Syeikh Abdul Aziz bin Che Man meriwayatkan hadith yang silsilahnya sampai kepada Imam al-Tirmizi". Ini adalah permintaan seorang rakan yang private message saya minta penjelasan.

Maksud petikan tersebut ialah saya mendengar/belajar hadith itu daripada Tuan Guru Syeikh Abdul Aziz Che Man. Ianya terkandung di dalam kitab al-Syama'il al-Muhammadiyyah karangan Imam al-Tirmizi. Kitab tersebut menghimpunkan hadith-hadith mengenai bentuk fizikal, peribadi, pakaian, cara makan, cara berjalan dan macam2 lagi yang berkaitan dengan Rasulullah.

Semua hadith di dalam kitab itu diriwayatkan oleh tuan guru saya daripada Syeikh Husin al-Siraji, daripada Syeikh Muhammad Yaasin al-Fadani, daripada Syeikh Umar bin Hamdan dan Syeikh Abdullah bin Muhammad Ghazi al-Hindi, daripada Sayyid Hussein bin Muhammad al-Habshi al-Makki, daripada bapanya Sayyid Muhammad bin Husain, daripada Abu Hafs Umar bin Abdul Karim al-Attor, daripada Mufti Abdul Malik bin Abdul Mun'im, daripada datuknya Qadi Tajuddin Muhammad bin Abdul Muhsin al-Malaki, kedua-duanya daripada Hasan bin Ali al-'Ujaimi dan Ahmad bin Muhammad al-Nakhli, kedua-duanya daripada al-Sofiy Ahmad bin Muhammad al-Qashashi al-Madani, daripada al-Musnid Abdul Rahman bin Abdul Qadir bin Fahd al-Makki, daripada pamannya Muhammad Jarullah bin al-Izz bin Fahd al-Makki, daripada bapanya al-Hafiz Izzudin Abdul Aziz bin al-Najm Umar bin Fahd al-Makki, daripada Syeikh Muhibbuddin bin Abi al-Barakat, daripada........

errr.. saya berhenti setakat di sini sahaja. Panjang lagi list ni. Sampai kepada Imam al-Tirmizi, dan daripada imam al-Tirmizi sampai kepada Rasulullah/sahabat yang meriwayatkan hadith-hadith tersebut.

Maknanya, bila saya kongsi dengan sahabat-sahabat semua, maknanya hadith yang dipelajari ini adalah sampai kepada Rasulullah/sahabat baginda yang meriwayatkan.

Mudah kan zaman sekarang nak belajar hadith yang sampai silsilahnya kepada Nabi ? Zaman dulu, orang sanggup bermusafir beribu-ribu batu just nak riwayatkan sepotong hadith. Tapi zaman sekarang, zup zapp aje dapat hadith begini daripada internet. Itupun ada yang tak baca2 lagi.. he he he.

BTW, inilah antara perbezaan al-Quran dan al-Hadith berbanding kitab2 agama lain. Semuanya diriwayatkan secara berhati-hati. Semua perawi dicatat namanya, disemak integiriti thiqah dan dhobitnya dan pelbagai kriteria/syarat yang amat ketat demi menjamin keaslian al-Quran dan al-Hadith.

Wassalam.

Sunday, June 03, 2007

Mata dan tumit Rasulullah

Saya mendengar Tuan Guru saya Syeikh Abdul Aziz Che Man meriwayatkan hadith menerusi silsilah yang sampai kepada imam al-Tirmizi, sesungguhnya Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Musa Muhammad al-Muthanna, daripada Muhammad bin Ja'far, daripada Shu'bah, daripada Samak bin Harb, katanya, aku mendengar Jabir bin Samurah berkata:

(Adalah keadaan) Rasulullah itu bermata luas, dan tumitnya nipis.

(Status hadith: Sohih. Turut diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Ahmad et. al.)

Penjelasan ringkas.

Hadith di atas jelas menceritakan mengenai bentuk mata Rasulullah. Di dalam riwayat lain, ada dilaporkan yang Samak menjelaskan kepada Shu'bah yang maksud bermata besar ialah bermata bulat. Maksud tumit nipis pula ialah daging tumit yang sedikit.

Allahua'lam.

Friday, June 01, 2007

Bagaimanakah rupanya Rasulullah?

Assalamualaikum.

Saya mendengar tuan guru saya Syeikh Abdul Aziz Che Man meriwayatkan hadith daripada silsilah yang sampai kepada Imam al-Tirmizi, beliau berkata Abu Raja' Qutaibah ibn Said meriwayatkan daripada Malik bin Anas, daripada Rabi'ah bin Abi Abd al-Rahman, yang Anas bin Malik berkata:

(Adalah keadaan fizikal) Rasulullah itu tidaklah terlalu tinggi, dan tidaklah terlalu rendah. (Warna kulitnya) bukanlah putih pucat, dan tidaklah pula sawa matang/gelap. (Rambutnya) tidaklah kerinting bersimpul (kerinting sangat), dan tidaklah pula terlalu lurus. Diutuskan sebagai seorang Rasulullah ketika awal umur 40 tahun. (Selepas itu) bermukim di Makkah sepuluh tahun, dan sepuluh tahun di Madinah. Diwafatkan oleh Allah ketika awal umur 60 tahun. Uban di kepalanya tidak melebihi 20 helai rambut.

(Status hadith ini ialah sohih, dan turut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim)

Sedikit penjelasan


Hadith ini menceritakan mengenai antara sifat fizikal Rasulullah SAW. Sebagai umat Islam, adalah digalakkan untuk kita mencintai dan meniru gaya Rasulullah sedaya yang termampu, kerana itulah tanda kita cinta Nabi, dan orang yang mencintai nabi termasuk dalam golongan mereka yang mencintai Allah.

Saidina Ali merupakan antara contoh sahabat yang bersungguh-sungguh meniru gaya Nabi walaupun tanpa sebab yang boleh difahami akal. Sebagai contoh, dalam sepotong hadith sohih, beliau dikhabarkan yang sentiasa tersenyum apabila mula menunggang unta/kuda. Apabila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, beliau menjawab kerana meniru Rasulullah SAW yang apabila naik haiwan tunggangan, akan senyum terlebih dahulu (nota: bolehlah kita tiru apabila mula naik kereta, mungkin boleh mengurangkan stres dan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan).

Fizikal Rasulullah secara ringkasnya adalah sederhana. Mengikut tuan guru saya, uban Rasulullah yang sedikit itu adalah disebabkan yang Rasulullah amat banyak memikirkan umatnya.

Pun demikian, ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan di dalam hadith ini. Antaranya ialah mengapa dikatakan Rasulullah tinggal di Madinah selama 10 tahun (sebenarnya 13 tahun) dan wafat ketika umur 60 tahun (sebenarnya 63 tahun). Ini semua adalah kerana kata-kata Anas bin Malik tersebut adalah bertujuan untuk memperindahkan susunan matan/teks hadith tersebut, dalam keadaan umum mengetahui tempoh Rasulullah tinggak di Madinah dan umur sebenar kewafatannya. Ianya sejajar dengan nilai sastera Arab yang amat tinggi dan perlu diperjelaskan oleh ahlinya.

Allahua'lam.