Sunday, May 13, 2007

Memulihkan demokrasi dan integriti di Malaysia...

Sabtu lepas, saya memenuhi jemputan solat hajat dan bacaan Yaasin di rumah sahabat. Selesai menjamah makanan, saya dan lebih kurang 15 jemputan lain menggunakan peluang berkumpul untuk berbual-bual mengenai integriti dan demokrasi di Malaysia.

Saya yakin, kalau tidak konsensus pun, hampir majoriti rakan-rakan kelab menyembang pada waktu tersebut bersetuju bahawa demokrasi dan integriti di Malaysia berada pada tahap yang memalukan.

Antara petunjuk kepada kemunduran demokrasi di negara kita ialah sekatan media. Reporters Without Borders, sebuah NGO yang memperjuangkan kebebasan media yang berpusat di Paris telah mengeluarkan indeks kebebasan media negara-negara seluruh dunia. Agak memalukan, Malaysia berada di tangga ke-113 daripada 167 negara yang dibuat kajian, jauh di belakang Indonesia, Togo, Guinea, Senegal, Guatemala, Timor-Leste, dan negara dunia ketiga yang lain. Laporan penuh boleh dilihat di sini dan di sini.

Begitu juga dengan sekatan kecenderungan terhadap parti pembangkang. Di Malaysia, sekiranya kita bekerja di sektor kerajaan, agak mustahil kita boleh menyokong parti pembangkang. Kalau didapati kita terlibat sama ada secara langsung, atau sekadar menyokong jauh dari belakang, maka sudah tentu kita akan lambat 'confirm', tidak dapat naik pangkat, ditukar sana sini atau paling teruk akan dibuang. Tetapi mengapa penyokong parti pemerintah boleh 'berlagak' di dalam pejabat kerajaan ? Kadang-kadang mereka gunakan jentera kerajaan untuk kepentingan parti. Mengapa mereka tidak tahu membezakan antara kerajaan dan parti ?

Yang sedihnya, pegawai-pegawai yang berlagak itu ada juga yang belajar dari negara-negara Eropah. Mengapakah mereka tidak belajar amalan demokrasi di barat yang mengatasi pengamalan demokrasi di negara umat Islam ? Di United Kingdom sebagai contoh, ahli parti Labour (pemerintah) boleh bekerja sekali di sektor awam dengan ahli parti Konservatif (pembangkang).

Tetapi di Malaysia, bermula daripada sesi temuduga pun akan ditanya adakah anda UMNO atau PAS atau KeAdilan atau DAP. Ianya berlaku kepada diri saya (saya pernah berkhidmat dengan dua IPTA yang berbeza). Yang mengajukan soalan tersebut hanyalah sekadar dekan yang memegang pos secara giliran, yang agaknya lupa sebagai pegawai kelas A, kita dilarang daripada terlibat aktif dalam mana-mana parti politik. Sila lihat perkara 21 di link ini. Saya tiada masalah sekiranya pemegang jawatan awam di sektor kerajaan aktif di dalam UMNO, tetapi saya amat bermasalah sekiranya mereka dilarang daripada terlibat di dalam parti pembangkang. Larangan inilah yang menyebabkan berlakunya amalan 'godfather' dan samseng di kalangan pegawai awam yang menyokong parti pemerintah. Kerana itulah saya tidak bersetuju langsung dengan perkara 21 tersebut.

Opss.. menyentuh pasal tidak setuju, agaknya kalaulah blog saya dibaca oleh ramai orang, maka sudah tentu saya akan diambil tindakan. Mana boleh 'tidak bersetuju' di Malaysia. Semuanya kena mengangguk, walaupun bercanggah dengan ilmu akademik yang ada di dalam diri.

Begitu juga masalah integriti. Di dalam Corruption Perception Index (CPI) yang dikeluarkan oleh Trancparency International, Malaysia menduduk tangga ke-36 pada tahun 2001, ke-33 (2002), kembali menurun ke tangga 37 (2003), ke-39 (2004 & 2005) dan semakin merudum ke tangga 44 pada tahun 2006, di belakang negara-negara seperti Mauritius, Oman, Israel, Malta, Macao, Singapore dan negara-negara maju lain.

..............

1 comment:

Anonymous said...

Terlambat membaca entri tidak bermakna tidak mengendahkan hal sekeliling yang terjadi.

Jika berbicara soal integriti dan persoalan pegawai kerajaan yang menyokong pembangkang, secara personal saya lihat soalan-soalan cepu emas tentang keterlibatan seseorang pegawai kerajaan di dalam bidang politik kelihatan lebih 'obvious' di dalam Kementerian Pelajaran atau Kementerian Pengajian Tinggi. Sebab apa, dan bagaimana hal ini boleh terjadi, adalah utk difikirkan bersama, walaupun saya yakin kebanyakan daripada kita tahu sedikit sebanyak faktor yang menyebabkan keadaan demikian terjadi.

Jika di tempat lain, saya lihat, tidak begitu bermasalah di sudut itu, dan sesetengahnya mampu memegang jawatan yang tidak kurang hebat, kerana prestasi kerja yang cemerlang, serta hubungan dengan anggota kerja lain yang positif. Tiada masalah mendapatkan biasiswa sama ada utk diri sendiri atau utk anak-anak dan walaupun tidak bergerak secara terlalu bebas, tetapi tidak pula tersekat-sekat.

Tetapi, saya harus bersetuju dengan penulis, hakikatnya integriti adalah suatu isu yang selalu diperlekehkan dalam konteks masyarakat Malaysia. Bukan juga kita mahu mengambil sepenuhnya acuan daripada barat atau negara maju kerana mereka juga gagal dari sudut integriti institusi kekeluargaan dan sosial secara amnya dan penghayatan agama khususnya, tetapi kelihatan seumpama mereka sedang perlahan-lahan 'revert' semula kepada keadaan fitrah setelah mempelajari kepincangan yang dihadapi. Masyarakat kita pula menentang arus ke arah masyarakat yang boleh dipersoalkan integritinya, kerana campurtangan politik di dalam terlalu banyak perkara yang melibatkan masa depan negara.

Sekadar pandangan.