Mencari rumah sewa di Aberdeen merupakan satu pengalaman yang amat menarik dan agak mencabar. Memandangkan bandar ini agak sinonim dengan industri minyak dan gas, maka harga hartanah agak mahal. Walau bagaimanapun, sekiranya kita tahu cara terbaik untuk mencari rumah sewa, serta banyak bersabar dan bertawakal, insyaAllah kita akan mendapat rumah mampu-sewa yang diidamkan. Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum kita menyewa rumah di sini:
1. Harga sewa rumah.
Ianya berbeza mengikut lokasi, bilangan bilik dan perabut. Secara umum, harga sewa rumah boleh dirumuskan seperti berikut:
a. Penginapan universiti – agak murah. Sewa bilik antara £150-£300, sementara sewa rumah bagi pelajar pasca-siswazah berkeluarga antara £250-£300.
b. Rumah sewa persendirian/melalui syarikat guaman hartanah. Harganya adalah seperti berikut (lengkap dengan perabut):
i. Bilik sahaja - £150-£300
ii. Studio - £300-£500
iii. Rumah satu bilik £375-£500
iv. Rumah dua bilik £450 - £600
2. Lokasi – Rumah berhampiran dengan universiti, hospital atau pusat bandar biasanya lebih mahal.
3. Kejiranan– Pastikan anda memilih kejiranan yang tidak mempunyai masalah jenayah yang serius.
4. Sistem pemanas rumah – Sistem pemanas gas berpusat (gas central heating) lebih jimat berbanding sistem pemanas elektrik.
5. Kelengkapan rumah – Rumah di Aberdeen kebiasaannya disewa dengan pakej perabut lengkap. Ada juga yang menyewa tanpa perabut, atau separuh berperabut, di mana harganya lebih murah.
6. Bilangan bilik – tuan rumah atau syarikat guaman hartanah biasanya amat menitikberatkan mengenai bilangan ahli keluarga. Sekiranya anda ingin tinggal dengan pasangan (suami/isteri), maka tiada masalah untuk tinggal di studio atau flat satu bilik. Akan tetapi sekiranya anda mempunyai anak berumur lebih 2 tahun, maka anda hanya boleh menyewa flat yang mempunyai sekurang-kurangnya dua bilik.
Di bandar ini, terdapat beberapa cara untuk kita mencari penginapan:
1. Sekiranya anda merupakan pelajar pra-siswazah di University of Aberdeen, anda boleh memohon penginapan pelajar daripada Accomodation Department, University of Aberdeen. Sila dapatkan maklumat lanjut di sini, atau anda boleh muat turun brosur yang berkaitan.
Pihak universiti juga menyediakan rumah bagi pelajar pasca-siswazah yang berkeluarga. Penginapan untuk pelajar matang berkeluarga dimiliki oleh Aberdeen City Council (Majlis Perbandaran Aberdeen), tetapi diuruskan oleh Accomodation Department, University of Aberdeen. Anda boleh menghubungi kakitangan Accomodation Department untuk mengetahui status kekosongan penginapan tersebut. Permohonan biasanya memakan masa yang agak lama, tertakluk kepada kekosongan.
Kelebihan rumah ini ialah sewanya yang amat murah, antara £250-£300 bagi flat 2 bilik + 1 ruang tamu, dengan sistem pemanas berpusat berasaskan gas (gas central heating). Rumah ini kebiasaannya ditawarkan tanpa sebarang perabut. Justeru kita perlu membeli perabut sendiri, atau mendapatkannya secara percuma melalui beberapa pertubuhan kebajikan.
Untuk membeli perabut dan kelengkapan rumah yang baru, ianya akan memakan kos yang agak tinggi. Anda boleh merujuk beberapa laman pasaraya seperti Argos, ASDA, Comet, Currys dan lain-lain untuk mengetahui harga kelengkapan rumah.
Anda boleh menjimatkan kos dengan membeli kelengkapan dan perabut rumah terpakai. Ianya amat murah berbanding dengan harga barangan baru. Ada beberapa cara untuk membeli barang-barang terpakai. Antaranya, ialah seperti berikut:
a. membeli daripada kedai-kedai kebajikan (charity shop) seperti VSA di Gallowgate dan British Heart Foundation di Union Street.
b. merujuk laman iklan akhbar Evening Express.
c. iklan menjual barangan terpakai juga boleh didapati di papan iklan universiti dan juga pasaraya terkemuka.
d. Ada juga beberapa kedai yang menjual barangan terpakai yang berkualiti di George Street. Sebagai contoh, anda boleh mendapatkan dapur, peti sejuk dan mesin basuh dengan jaminan setahun pada harga £300 sahaja berbanding £1000 sekiranya membeli barang baru.
e. Barangan lelong di Thainstone Business Centre, setiap hari Selasa. Sebagai contoh, anda boleh membeli peti sejuk dan dapur pada harga £20 sahaja.
Lebih menarik, anda juga boleh mendapatkan keseluruhan barangan secara percuma dengan menghubungi beberapa orang individu tempatan yang suka membuat kerja amal. Sila rujuk kepada AJK PMA untuk menghubungi individu-individu tersebut. Selain itu, kelengkapan rumah percuma juga boleh diperolehi menerusi pertubuhan Freecycle.Anda boleh melanggan mailing list Aberdeen Free Cycle untuk mengetahui iklan barangan terpakai yang ingin diberikan oleh percuma. Percaya atau tidak, anda boleh jimat sehingga beribu-ribu Pound dengan mendapatkan barangan tersebut secara percuma!
Kesimpulannya, bagi pelajar matang berkeluarga, anda boleh berjimat dengan tinggal di rumah ini. Walau pun pada permulaan anda perlu untuk mengeluarkan duit yang agak banyak untuk membeli karpet (anggaran £250-£400) dan juga kelengkapan asas rumah (anggaran antara £100 - £300), tetapi anda masih boleh dapat menjimatkan duit anda kerana sewa rumah yang amat rendah.
2. Sekiranya anda belajar di Robert Gordon University (RGU), dan ingin tinggal di penginapan yang disediakan oleh pihak RGU, sila rujuk laman ini.
3. Bagi yang datang untuk bekerja di sini, ada beberapa syarikat yang menawarkan penginapan kepada pekerja mereka. Sila hubungi pihak pengurusan syarikat tempat anda bekerja.
4. Sekiranya anda gagal untuk mendapatkan penginapan di atas, maka anda perlu untuk mencari penginapan sendiri. Di Aberdeen, kebiasaannya urusan rumah sewa dimonopoli oleh syarikat guaman hartanah terkemuka. Agak jarang pemilik rumah sewa yang akan mengiklankan rumah mereka secara peribadi seperti yang diamalkan di kebanyakan bandar-bandar lain di UK. Kalau ada pun, mereka akan mengiklankan rumah mereka di papan iklan pasaraya utama, atau di sini.
Anda boleh merujuk beberapa laman syarikat hartanah di Aberdeen untuk mencari rumah sewa, seperti berikut:
a. Aberdeen Solicitor's Property Centre (ASPC).Ianya merupakan gabungan beberapa syarikat guaman hartanah di Aberdeen. Kebanyakan rumah sewa syarikat guaman lain turut dimuatkan di dalam laman ASPC.
b. Peterkins
c. Lettingweb
d. Primelet
e. Homeguard Leasing
f. Mortgage and Property
g. Stronachs
i. James and George Collie
j. Property2c
k. Raeburn Christie Clark & Wallace
Sekian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment