Monday, July 30, 2007

Rambut Rasulullah

Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ali bin Hujr, daripada Ismail bin Ibrahim, daripada Humaid daripada Anas bin Malik, sesungguhnya Anas berkata:

Adalah rambut Rasulullah itu mencecah ke separuh telinganya.

Status hadith: Sohih. Turut diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Ahmad, Imam al-Nasa'i et. al.

Imam al-Tirmizi meriwayatkan hadith daripada Hunad bin Al-Sariy, daripada Abd al-Rahman ibn Abi al-Zanad, daripada Hisham bin Urwah daripada bapanya, sesungguhnya Aishah berkata:

Aku mandi bersama Rasulullah di dalam satu bekas. Rambut baginda mencecah bahu, tetapi tidaklah sampai (bahagian tepinya) ke cuping telinga sangat.

Status hadith: Sohih

Penjelasan.

Hadith-hadith ini menceritakan mengenai rambut Rasulullah. Sekiranya digabungkan dengan hadith-hadith lain, maka kita akan memahami yang rambut Rasulullah adalah panjang mencecah bahu di bahagian belakang, hampir mencecah cuping telinga, tidak terlalu lurus tetapi tidaklah pula terlalu kerinting dan kemas. Ulamak meletakkan syarat untuk berambut panjang perlulah kemas. Dalam bab berikutnya, saya akan berkongsi hadith bagaimana Rasulullah mendandan rambutnya, yang menunjukkan bahawa rambut Rasulullah adalah kemas.

Dalam hadith sohih lain, diriwayatkan yang rambut Rasulullah yang panjang itu dibiarkan terurai, ie tidak diikat, dan tidak pula dipotong/dipendekkan sebahagian yang lain seperti rambut Musyrikin Mekkah. Ibn Abbas melaporkan yang rambut Rasulullah adalah hampir sama dengan rambut ahli kitab pada zaman tersebut.

Rasulullah juga diriwayatkan membotakkan rambutnya sebanyak tiga kali, iaitu semasa tahun umrah qodo', tahun perjanjian Hudaibiyah dan semasa haji wada'.

Wassalam.

No comments: