Friday, July 27, 2007

Muka nabi Muhammad seperti muka nabi Ibrahim...

Imam al-Tirmizi mendengar daripada Qutaibah bin Sa'id, sesungguhnya beliau berkata, Al-Laith bin Sa'ad memberitahuku daripada Abu al-Zubair daripada Jabir bin Abdullah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

Aku telah dipertontonkan (bertemu) dengan para nabi (semasa Isra' Mi'raj). Adapun Musa A.S. rupanya seperti orang Shanu'ah (orang Yaman), dan Aku melihat Isa bin Maryam A.S. dan apabila Aku paling hampir dengan baginda, Aku melihat baginda (Isa) seperti Urwah bin Mas'ud. Aku melihat Ibrahim A.S. dan apabila Aku paling hampir dengan baginda, Aku melihat baginda seperti nabi kamu (iaitu diri baginda, Muhammad SAW). Aku melihat Jibril A.S. dan apabila Aku paling hampir dengan Jibril, Aku dapati yang rupanya seperti Dihyah.

Status hadith: Hadith sohih. Turut diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Sedikit penjelasan

Hadith ini menceritakan bagaimana nabi Muhammad bercerita mengenai persamaan bentuk fizikal beberapa orang Nabi dan juga malaikat Jibril yang ditemui semasa peristiwa Isra' Mi'raj. Apa yang dapat dilihat ialah nabi Ibrahim mukanya dan badannya seperti nabi Muhammad. Kita juga mengetahui yang nabi Muhammad merupakan keturunan Ibrahim dan sebelum turunnya wahyu, nabi Muhammad menganut agama yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim yang turut dikenali sebagai al-Hanif. Nabi Isa pula seperti 'Urwah bin Mas'ud al-Thaqafi, iaitu salah seorang sahabat yang masyhur. Kisah Urwah tercatit di dalam surah al-Zukhruf ayat 31. Adapun Jibril pula seperti Dihyah yang merupakan salah seorang pahlawan perang Badar, dan turut berbai'ah semasa peristiwa Bai'ah al-Ridwan.

Allahua'lam.

No comments: