Saya mendengar tuan guru saya Syeikh Abdul Aziz bin Che Man meriwayatkan hadith yang silisilah rawinya sampai kepada Imam al-Tirmizi, Imam al-Tirmizi mendengar daripada Muhammad bin Ismail, daripada Abu Nu'aim, daripada al-Mas'udi, daripada Uthman bin Muslim bin Hirmaz, daripada Nafi' bin Jabir, daripada Ali bin Abi Talib, sesungguhnya Ali berkata:
Dan tidaklah (keadaan fizikal) Nabi itu terlalu tinggi atau terlalu rendah. Kedua-dua tapak tangan dan kakinya adalah tebal. Dahinya luas, begitu juga bidang dadanya yang luas. (Ada) bulu (antara dada hingga ke pusat) yang panjang. Sekiranya berjalan, baginda berjalan dalam keadaan bersegera, seperti seseorang yang sedang menuruni tempat tinggi. Saya tidak pernah melihat sesiapa sepertinya sama ada sebelum atau selepas (hidup baginda).
Status hadith: Hadith Hasan.
Sedikit penjelasan
Sekali lagi hadith ini menceritakan mengenai bentuk fizikal Rasulullah, yang mudahnya boleh disimpulkan dengan satu perkataan, iaitu sederhana. Dahinya yang luas sedikit sebanyak mencerminkan sifat fatonah baginda. Baginda juga dilaporkan suka berjalan dalam keadaan cepat, seperti sedang menuruni tempat tinggi, tetapi tidak pula gelojoh. Melihat baginda sudah pasti satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh golongan Sahabat.
Ketika mensyarahkan hadith ini, syeikh turut menyatakan yang terdapat beberapa keistimewaan yang khusus pada fizikal Rasulullah, antaranya tidak mempunyai bayang, dan bentuk badannya boleh berubah. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini saya belum pernah dapat melihat mana-mana kitab atau hadith yang menceritakan mengenai keistimewaan ini.
Allahua'lam bissowab.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment