Assalamualaikum.
Saya mendengar tuan guru saya Syeikh Abdul Aziz Che Man meriwayatkan hadith daripada silsilah yang sampai kepada Imam al-Tirmizi, beliau berkata Abu Raja' Qutaibah ibn Said meriwayatkan daripada Malik bin Anas, daripada Rabi'ah bin Abi Abd al-Rahman, yang Anas bin Malik berkata:
(Adalah keadaan fizikal) Rasulullah itu tidaklah terlalu tinggi, dan tidaklah terlalu rendah. (Warna kulitnya) bukanlah putih pucat, dan tidaklah pula sawa matang/gelap. (Rambutnya) tidaklah kerinting bersimpul (kerinting sangat), dan tidaklah pula terlalu lurus. Diutuskan sebagai seorang Rasulullah ketika awal umur 40 tahun. (Selepas itu) bermukim di Makkah sepuluh tahun, dan sepuluh tahun di Madinah. Diwafatkan oleh Allah ketika awal umur 60 tahun. Uban di kepalanya tidak melebihi 20 helai rambut.
(Status hadith ini ialah sohih, dan turut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim)
Sedikit penjelasan
Hadith ini menceritakan mengenai antara sifat fizikal Rasulullah SAW. Sebagai umat Islam, adalah digalakkan untuk kita mencintai dan meniru gaya Rasulullah sedaya yang termampu, kerana itulah tanda kita cinta Nabi, dan orang yang mencintai nabi termasuk dalam golongan mereka yang mencintai Allah.
Saidina Ali merupakan antara contoh sahabat yang bersungguh-sungguh meniru gaya Nabi walaupun tanpa sebab yang boleh difahami akal. Sebagai contoh, dalam sepotong hadith sohih, beliau dikhabarkan yang sentiasa tersenyum apabila mula menunggang unta/kuda. Apabila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, beliau menjawab kerana meniru Rasulullah SAW yang apabila naik haiwan tunggangan, akan senyum terlebih dahulu (nota: bolehlah kita tiru apabila mula naik kereta, mungkin boleh mengurangkan stres dan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan).
Fizikal Rasulullah secara ringkasnya adalah sederhana. Mengikut tuan guru saya, uban Rasulullah yang sedikit itu adalah disebabkan yang Rasulullah amat banyak memikirkan umatnya.
Pun demikian, ada beberapa perkara yang perlu diperjelaskan di dalam hadith ini. Antaranya ialah mengapa dikatakan Rasulullah tinggal di Madinah selama 10 tahun (sebenarnya 13 tahun) dan wafat ketika umur 60 tahun (sebenarnya 63 tahun). Ini semua adalah kerana kata-kata Anas bin Malik tersebut adalah bertujuan untuk memperindahkan susunan matan/teks hadith tersebut, dalam keadaan umum mengetahui tempoh Rasulullah tinggak di Madinah dan umur sebenar kewafatannya. Ianya sejajar dengan nilai sastera Arab yang amat tinggi dan perlu diperjelaskan oleh ahlinya.
Allahua'lam.