Thursday, June 07, 2007

Apa maksudnya?

Assalamualaikum..

Saya telah ditanya mengenai maksud entri Hadith mengenai sifat dan rupa Rasulullah yang berbunyi "saya mendengar Tuan Guru saya Syeikh Abdul Aziz bin Che Man meriwayatkan hadith yang silsilahnya sampai kepada Imam al-Tirmizi". Ini adalah permintaan seorang rakan yang private message saya minta penjelasan.

Maksud petikan tersebut ialah saya mendengar/belajar hadith itu daripada Tuan Guru Syeikh Abdul Aziz Che Man. Ianya terkandung di dalam kitab al-Syama'il al-Muhammadiyyah karangan Imam al-Tirmizi. Kitab tersebut menghimpunkan hadith-hadith mengenai bentuk fizikal, peribadi, pakaian, cara makan, cara berjalan dan macam2 lagi yang berkaitan dengan Rasulullah.

Semua hadith di dalam kitab itu diriwayatkan oleh tuan guru saya daripada Syeikh Husin al-Siraji, daripada Syeikh Muhammad Yaasin al-Fadani, daripada Syeikh Umar bin Hamdan dan Syeikh Abdullah bin Muhammad Ghazi al-Hindi, daripada Sayyid Hussein bin Muhammad al-Habshi al-Makki, daripada bapanya Sayyid Muhammad bin Husain, daripada Abu Hafs Umar bin Abdul Karim al-Attor, daripada Mufti Abdul Malik bin Abdul Mun'im, daripada datuknya Qadi Tajuddin Muhammad bin Abdul Muhsin al-Malaki, kedua-duanya daripada Hasan bin Ali al-'Ujaimi dan Ahmad bin Muhammad al-Nakhli, kedua-duanya daripada al-Sofiy Ahmad bin Muhammad al-Qashashi al-Madani, daripada al-Musnid Abdul Rahman bin Abdul Qadir bin Fahd al-Makki, daripada pamannya Muhammad Jarullah bin al-Izz bin Fahd al-Makki, daripada bapanya al-Hafiz Izzudin Abdul Aziz bin al-Najm Umar bin Fahd al-Makki, daripada Syeikh Muhibbuddin bin Abi al-Barakat, daripada........

errr.. saya berhenti setakat di sini sahaja. Panjang lagi list ni. Sampai kepada Imam al-Tirmizi, dan daripada imam al-Tirmizi sampai kepada Rasulullah/sahabat yang meriwayatkan hadith-hadith tersebut.

Maknanya, bila saya kongsi dengan sahabat-sahabat semua, maknanya hadith yang dipelajari ini adalah sampai kepada Rasulullah/sahabat baginda yang meriwayatkan.

Mudah kan zaman sekarang nak belajar hadith yang sampai silsilahnya kepada Nabi ? Zaman dulu, orang sanggup bermusafir beribu-ribu batu just nak riwayatkan sepotong hadith. Tapi zaman sekarang, zup zapp aje dapat hadith begini daripada internet. Itupun ada yang tak baca2 lagi.. he he he.

BTW, inilah antara perbezaan al-Quran dan al-Hadith berbanding kitab2 agama lain. Semuanya diriwayatkan secara berhati-hati. Semua perawi dicatat namanya, disemak integiriti thiqah dan dhobitnya dan pelbagai kriteria/syarat yang amat ketat demi menjamin keaslian al-Quran dan al-Hadith.

Wassalam.