Friday, September 14, 2007

Keterbukaan politik di UK

Assalamualaikum.

Beberapa minggu lepas, Gordon Brown telah menyampaikan ucapan yang menyeru ke arah suasana politik baru, dengan menyeru keterbukaan parti beliau yang memerintah British sekarang untuk bersedia menerima penglibatan pemimpin daripada parti pembangkang di dalam kerajaan. Ucapan beliau mendapat respon, baik positif mahupun negatif di sini. Akhbar Guardian sendiri melaporkan yang Parti Buruh pimpinan beliau sedang merekrut beberapa orang pemimpin daripada Lib Dem dan Conservatives untuk berganding bahu menguruskan negara.

Semalam pula, Gordon Brown menjemput Margaret Thatcher berkunjung ke no. 10 Downing Street. Ulasan menarik pertemuan tersebut boleh dilihat di sini. Ianya bukanlah satu perkara yang mengejutkan, kerana Tony Blair sendiri pernah mengadakan beberapa pertemuan dengan Lady Thatcher semasa beliau menerajui kerajaan.

Umum mengetahui yang orang-orang lama di dalam Konservatif kurang senang dengan halatuju David Cameroon, lantas kerap membuat beberapa tindakan yang barangkali tidak disenangi oleh pemimpin muda berkarismatik tersebut. Antaranya, ialah mereka kelihatan kerap berhubung dengan seteru politik mereka daripada parti Buruh.

Pun demikian, satu perkara menarik yang saya lihat di sini ialah, betapa terbukanya suasana pertembungan politik di Barat. Semua pihak bersikap jantan untuk 'berlawan' dengan mengenepikan emosi dan baran. Parti yang memerintah sanggup memberikan ruang kepada parti pembangkang memberikan pandangan secara terbuka.

Kalaulah ini dapat diamalkan di Malaysia......

No comments: